Monday, 9 June 2014

Manfaat berpuasa Ramadan dari segi kesihatan


Tujuan utama kita berpuasa adalah untuk memperoleh taqwa seperti yg disebut Allah di dalam surah al-baqarah 183.

Meskipun begitu, tiada masalah jika di samping berpuasa kerana Allah, kita cuba untuk meraih manfaat kesihatannya. Memang Allah dalam kebijaksaanNya telah meletakkan banyak manfaat kesihatan dalam ibadah puasa.
Namum, manfaat-manfaat ini hanya akan diperolehi jika puasa dilakukan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Saintis Barat juga memperakui manfaat berpuasa. Terdapat kajian yang menunjukkan puasa selang setiap hari adalah terbaik dan kita sudah pun tahu akan hal ini melalui hadith di dalam Sahih Bukhari di mana Rasulullah SAW berkata bahawa puasa yang paling disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud a.s. yg telah berpuasa selang sehari sepanjang hidupnya. Namun begitu, puasa 2 kali seminggu seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW juga ada manfaatnya. Artikel ini dari akhbar British BBC boleh dibaca untuk keterangan lanjut: http://www.bbc.co.uk/news/health-19112549

Berikut adalah manfaat berpuasa dari segi kesihatan fizikal dan mental:

1. Puasa memberi kerehatan bukan sahaja kepada system pencernaan tetapi kepada seluruh badan untuk membolehkan proses-proses baik pulih sel dan ‘regeneration.’ Ketiadaaan makanan di dalam perut dan usus kecil selama lebih kurang 12 jam mengurangkan rembesan sejenis hormon tumbesaran (insulin like growth factor 1 (IGF-1)) yang seterusnya menyebabkan pengaktifkan gen-gen pembaikpulihan. TETAPI jikalau waktu berbuka kita makan lebih daripada yang perlu, maka manfaat ini tidak akan tercapai kerana akan wujud kalori yg berlebihan di samping sistem pencernaan kita terpaksa bekerja keras untuk  mencerna makanan yang terlalu banyak. Tambahan pula, setelah berpuasa selama beberapa hari, saiz perut mungkin akan mengecut sedikit kerana perut merupakan otot yang boleh berubah saiz mengikut kandungannya. Jika kita terus makan seperti biasa atau lebih dari biasa, kita akan rasa kekenyangan yang melampau kerana perut disumbat lebih dari kapasitinya. Selain dari itu, feasting after fasting, ataupun makan dengan keterlaluan setelah berpuasa menyalahi didikan bulan Ramadan untuk kita mengawal nafsu dan menghayati kesusahan yang dialami oleh saudara kita di seluruh dunia yang tiada makanan untuk berbuka pun!

Hadith Rasulullah SAW sangat penting dalam hal ini untuk dihayati:
On the authority of Al-Miqdaam ibn Maadiy-Karib who said: I heard the Messenger of Allah saying: "No human ever filled a vessel worse than the stomach. Sufficient for any son of Adam are some morsels to keep his back straight. But if it must be, then one third for his food, one third for his drink and one third for his breath." [Ahmad, an-nasai, at-tirmidhi, ibn majah]

Hadith in menarik kerana beberapa sebab. Yang pertama, Nabi SAW berkata anak Adam memerlukan beberapa suap makanan sahaja (kadar minimum) untuk 'keep his back straight' yakni hidup dengan elok sambil bekerja. Lalu Nabi berkata, kalau nak makan sangat juga (i.e. kadar maksimum), maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk air, dan bakinya untuk pernafasan. Kita hidup di zaman di mana kadar maksimum pemakanan yang nabi sarankan menjadi kadar minimum. Dan kadar maksimumnya pula makan sampai sakit dan akhirnya hidup dalam ksengsaraaan sebelum mati kerana pelbagai masalah kesihatan!

Jika dikaji hadith di atas dari sudut biology pula, maka akan difahami mengapa Rasulullah menyuruh kita meninggalkan 1/3 daripada ruang perut untuk angin/pernafasan. Sila lihat rajah di bawah. 




Sewaktu menarik nafas, diafragma bergerak ke bawah untuk mengembangkan paru-paru. Disebabkan perut terletak betul-betul di bawah diafragma, ia boleh dikempiskan sedikit oleh diafrgma jika tidak penuh. Tetapi, jika perut penuh dengan makanan, diafragam tidak boleh mengkempiskan perut, dan kita pun berasa agak susah untuk bernafas.

Makan berlebihan juga menyalurkan darah dari seluruh badan ke system pencernaan untuk proses pencernaan. Maka organ-organ lain seperti otak, menerima darah yang kurang kerana darah telah dihantar ke perut dan usus. Akibatnya, kita menjadi mengantuk. Dalam satu kes ekstrim yg saya ketahui, seorang lelaki yang telah makan terlalu banyak mendapat serangan jantung kerana kekurangan aliran darah ke jantung.

2. Qiyam(berterawih) di bulan Ramadan juga banyak manfaatnya. Qiyam yang sempurna berkait rapat dengan makanan ketika berbuka. Jikalau kita terlalu kenyang, maka Qiyam menjadi susah dari segi fizikal dan juga mental kerana mengantuk. Namun begitu, qiyam boleh membantu dalam proses pencernaan melalui pergerakan anggota badan kita ketika solat seperti ruku’, sujud, duduk antara dua sujud, dan lain-lain. Selain itu, pergerakan dalam solat memastikan sendi-sendi tulang sentiasa digunakan dan mengelakkan kekerasan yang sering berlaku kepada orang-orang tua yang kurang aktif. Di samping itu, solat dengan khusyu’ dan tomakninah (tidak terkejar-kejar, melakukan setiap pergerakan dengan sopan dan perlahan) juga penting untuk ketenangan dan kesihatan mental. Solat umpama Yoga bagi orang Islam.

3. Puasa juga mengurangkan kandungan gula di dalam darah. Ini merehatkan pancreas yang menghasilkan insulin untuk menurunkan gula di dalam darah. Pancreas yang sihat akan mengurangkan risiko kita untuk menghidap penyakit kencing manis. Namun begitu, tabiat pemakanan yang kurang sihat sewaktu berbuka puasa dan di luar bulan Ramadan seperti makan makanan manis (kuih muih) dan minuman manis (teh tarik, air sirap) boleh menyebabkan faedah puasa ini berkurang. Ingat, ayat-ayat Quran dalam Quran berkaitan makanan selalu menekankan supaya kita bukan sahaja makan makanan yang halal, tetapi makanan yang toyyib juga yakni baik, di samping jangan melampau.
يا أَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلالًا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." al-Baqarah 2:168

يا بَني آدَمَ خُذوا زينَتَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ وَكُلوا وَاشرَبوا وَلا تُسرِفوا ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُسرِفينَ  

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas." al-A'raf 7:31

4. Makan terlalu lewat sewaktu moreh juga merupakan tabiat yang tidak sihat kerana tidur dgn perut yg penuh boleh membawa kepada masalah angin. Ini kerana dalam keadaan baring, makanan tidak dapat turun ke bawah dengan bantuan gravity. Makanan yang duduk terlalu lama dalam perut atau usus akan diuraikan oleh bacteria dan asid untuk menghasilkan angin yang menyebabkan kita menjadi tidak selesa. Ini pula menyebabkan tidur kita tidak lena, dan seterusnya sukar bangun sahur. Di samping it, mungkin selera untuk sahur pun kurang kerana perut penuh dengan angin.

5. Sahur tidak patut ditinggalkan kerana padanya terdapat keberkatan, dan juga memberi kita tenaga untuk terus berpuasa sepanjang hari. Rasulullah SAW berkata:
Bersahurla kamu, kerana di dalam sahur itu ada keberkatan.” [Bukhari]
 
Maksud berkat ataupun ‘barakah’ dari segi istilah ialah ‘banyak dan bertambah.’ Ertinya, makanan yg sedikit terasa seperti banyak dan terus kekal di dalam badan, memberi tenaga untuk berpuasa sepanjang hari. Jika kita betul-betul beriman dengan keberkatan yg Allah letak pada sahur, maka makanan yang sedikit pun sudah cukup untuk kita tahan sepanjang hari. Adapun begitu, perkara ini bergantung kepada pekerjaan seseorang. Maka orang yang bekerja berat seperti buruh, harus makan lebih daripada seseorang yg bekerja di pejabat. Suatu cadangan di sini, elok kita makan makanan yang rendah glycemic index nya. Contohnya roti wholemeal, nasi perang(brown rice), capati, dan lain-lain. Roti putih (high glycemic index) dan roti wholemeal(low glycemic index) mengandungi kandungan gula yang lebih kurang sama. Tetapi roti wholemeal dicerna lambat, dan gula di dalamnya dibebaskan ke dalam darah sedikit demi sedikit. Ini bukan sahaja bagus untuk mengelakkan kencing manis, tetapi juga memastikan kita mempunyai tenaga untuk jangka masa yang lama. Maka seelok-eloknya, kita makanlah makanan seperti ini (low glycemic index) di dalam dan juga di luar Radaman, terutamanya untuk mengelak penyakit diabetes yang kini menular di kalangan masyarakat.

6. Antara perkara yang perlu kita mengawal waktu puasa ialah perasaan marah. Allah berkata di dalam surah Ali-imran ayat 134 ketika menerangkan ciri-ciri orang bertakwa, antara sifat orang bertaqwa ialah “mereka yang menahan marahnya”. Puasa merupakan waktu yang baik untuk kita mengawal marah kerana syaitan diikat. Rasulullah menyuruh kita berkata ketika marah di bulan Ramdan, “ Sesungguhnya aku berpuasa (2x)”.
Kajian menunjukkan, mereka yang sering marah, menemui ajal lebih awal dari orang yang tenang. Ini kerana apabila marah, tekanan darah meningkat. Tekanan yg tinggi ini menyebabkan berlaku koyak-koyak yang kecil(microtear) pada salur darah. Tempat koyak ini akan menjadi tempat melekatnya lemak yang kemudian akan membesar dan menyebabkan salur darah menjadi keras. Jika salur darah ini terletak di jantung, maka jantung akan kekurangan oksigen dan orang tersebut akan terkena serangan jantung yang boleh menyebabkan maut. Sila lihat rajah di bawah:


 

7. Selain semua ini, puasa secara keseluruhannya membantu kita mengawal nafsu. Kita belajar di bulan Ramadan untuk berkata “tidak!” kepada keinginan-keinginan kita yang kadang kala membawa banyak masalah kepada hidup. Puasa mengajar kita untuk menjadi insan anti-consumerist. Kita hidup di zaman di mana kita sentiasa mahukan lebih daripada apa yang perlu, dan pengusaha-pengusaha seluruh dunia sentiasa melontarkan kepada kita iklan-iklan menawan untuk membeli produk-produk mahal mereka. Maka puasa mengajar kita untuk berhenti sejenak dan berfikir sebelum membeli semua yang terlintas di hadapan kita demi keseronokan semata-mata. Hidup yang kita cari ialah hidup di akhirat, maka marilah kita hidup di dunia ini seperti seorang musafir, demi meraih keseronokan dan keredhaan di akhirat kelak insya Allah.

Semoga bermanfaat apa yang terkandung di dalam nota ini, insya Allah.
Disediakan oleh:
Dr. Aqtar Mohamed Ummar
MBChB ( Edin 2012)
MSc Integrative Neuroscience (Edin 2015)
Kini bertugas sebagai guru di Khalifah Model School-Secondary  (sejak January 2016)

p/s: a) Baru-baru ini (2014), saintis-saintis dari University of Southern California mendapati dari kajian mereka bahawa berpuasa selama 3 hari dapat memperbaharui sistem immunity. Dan sememangnya Nabi SAW juga menasihati kita berpuasa pada 'hari-hari putih' iaitu 13,14 dan 15 setiap bulan. Alangkah banyaknya manfaat yang dapat diperoleh dari mengikuti sunnah nabi baik dari segi ukhrawi, mahupun duniawi. Artikel itu boleh dibaca di sini.  http://news.nationalpost.com/2014/06/05/fasting-for-three-days-renews-entire-immune-system-protects-cancer-patients-remarkable-new-study-finds/


b) Disebabkan cuaca yang agak panas dan berjerebu, mereka yang berpuasa dinasihati supaya kurang keluar rumah tanpa sebab dan minum banyak air setelah berbuka. Kalau boleh, bawalah sebotol air kosong untuk diminum sikit-sikit ketika solat terawih.

No comments:

Post a Comment