Dalam dua minggu yang sudah, saya
telah berdepan dengan dua insiden bertentangan yang menggerakkan hati saya
untuk menulis post ini. Yang pertamanya melibatkan isu saya tidak mengambil bahagian dalam tahlil
arwah yang dianjurkan oleh seseorang jemaah di surau saya kerana ia adalah
amalan yang tidak pernah dilakukan oleh nabi SAW atau para sahabatnya.
Sebenarnya pada malam tersebut saya diajdualkan memberi tazkirah tafisr Quran
mingguan, tetapi tiba-tiba sahaja tazkirah itu dibatalkan tanpa saya diberitahu,
digantikan dengan tahlil. Jadi dua kesalahan telah berlaku di sini iaitu,
penukaran program dengan cara yang tidak menghormati agenda orang lain, dan
lebih teruk lagi diganti dengan program bid’ah yakni tahlil, yang difatwakan
sebagai makruh atau haram oleh semua ulama’ muktabar kempat-empat mazhab. Saya
tidak menghalang sesiapa melakukan tahlil tetapi sepatutnya kalau mahu
dilakukan juga, buatlah selepas tazkirah. Mana-mana masjid yang menjemput ustaz
memberi kuliah, pasti akan memberi ruang untuk kuliah terlebih dahulu, kemudian
baru tahlil. Saya tidak berkata apa-apa pun kepada orang tersebut, tetapi dia
menjadi tidak puas hati kerana tiada orang yang mengikuti tahlilnya pada malam
kedua dan ketiga kerana jemaah lain tidak berpuas hati dengan apa yang telah
dia lakukan pada malam tazkirah.
Insiden yang kedua ialah seorang pak
cik tua yang memang terkenal dengan caranya yang agresif telah berkelahi dengan
saya kerana saya membaca doa selepas solat fardhu. Dia berkata perkara tersbut
adalah bid’ah, dan saya bersetuju memang ia adalah bid’ah. Tetapi saya
memberitahunya saya tidak boleh meninggalkan amalan tersebut begitu sahaja
kerana masyarakat masih jahil tentang perkara ini, dan mungkin ramai yang tidak
akan datang surau kalau saya tidak membaca doa. Memang saya ada niat untuk
mendidik masyarakat tentang hal ini, tetapi prosesnya mengambil masa khususnya
kerana orang-orang agama lain di seluruh negara terus melakukan bid’ah ini di
masjid-majisd besar dan juga di TV. Yang betul-betul mengikut Sunnah seperti Dr
MAZA masih sedikit. Itu yang saya cuba sampaikan kepada pak cik tersebut,
bahawa perkara-perkara bid’ah ini sudah terlalu serasi dengan masayrakat, kita
tak boleh ubah tiba-tiba. Tapi dia tetap bertegas bahawa saya tak melakukan
tugas sebagai imam dengan cara yang betul etc. Akhirnya, saya berkata, “Saya
tak mahu meneruskan perbicangan ini. Saya akan tukar bila saya rasa waktunya
sesuai. Itu saja!”
Sebelum kita bercakap tentang hukum
bid’ah, kita perlu faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan istilah
tersebut. Secara mudah, bid’ah adalah apa-apa ritual agama yang tidak dilakukan
oleh Nabi Muhammad SAW mahupun sahabatnya. Kata kunci di sini ialah ritual
agama. Maka tidaklah wujud bid’ah dalam amalan keduniaan seperti makan,
minum, pakaian, kenderaan dan lain-lain, bahkan bid’ah dalam hal-hal ini memang
digalakkan. Tujuan Allah mengutuskan rasul-rasul kepada umat manusia adalah
untuk mengajar manusia cara mengenali Tuhan dan bagaimana hendak beribadat
kepadaNya. Kalau tiada rasul diutus, maka setiap manusia akan beribadat kepada
Tuhan mengikut caranya yang tersendiri, dah disebabkan perkara inilah setiap
agama mempunyai cara beribadat yang berlainan mengikut suka sami/paderi/agamawan
masing-masing. Maka apabila Rasul telah diutus, sudah tiadalah ruang untuk
beribadat ikut suka hati dan adalah menjadi tugas kita untuk mengikut segala
tunjuk ajarnya tanpa menambahkan atau mengurangkan apa-apa darinya.
Disebabkan itu, para ulama telah membahagikan
hukum amalan kepada dua:
a)
dalam amalan ibadah, setiap
perkara adalah haram sehingga ada bukti bahawa Nabi SAW dan para sahabat
melakukannya. Hukum ini bukan sahaja pada jenis amalan tersebut, tetapi
termasuk jugalah cara melakukannya. Sebagai contoh, nabi solat zohor empat
rakaat, maka kita pun wajib solat zohor empat rakaat sahaja. Contoh lain, nabi
dan para sahabt sentiasa berzikir sendirian dalam setiap keadaan, tetapi tiada
bukti mereka berkumpul ramai-ramai di mana-mana tempat sama ada rumah atau
masjid untuk berzikir secara berjemaah dengan satu suara sambil duduk atau
berdiri, atau lebih hebat lagi menari. Maka semua ini adalah bid’ah dan tidak
boleh dilakukan. Kita perlu ingat bahawa para sahabat merupakan generasi yang
paling tinggi imannya dan paling tulen agamanya, dan merekelah yang akan
menjadi orang terawal melakukan sesuatu amalan kalau ada kebaikan padanya. Hakikatnya,
tiada antara mereka yang melakukan amalan-amalan bid’ah yang berluluasa dalam
masyarakat kita hari ini. Kalau mereka tak buat, maka memang tiadalah kebaikan
pada amalan tersebut.
b)
dalam amalan duniawi/interaksi
sesame manusia (muamalah), semua benda adalah halal sehingga ada bukti dari Quran atau
sunnah yang melarangnya. Contohnya, semua makanan adalah halal dimakan
melainkan apa yang dilarang oleh Allah dan RasulNya seperti daging babi, bangkai,
darah dan lain-lain makanan.
Maka dengan ini, tidak patutlah orang
berkata, “alah, tahlil kan benda baik, takkan tak boleh buat??! Kalau nak
sangat ikut nabi, kenape tak naik unta je?” Saya harap dengan penerangan ini,
maka jelaslah mengapa hujah di atas tidak masuk akal di sisi syarak.
Ada antara orang agama/ustaz yang
berkata bid’ah dibolehkan dengan alasan Sayyidina Abu Bakr membukukan Al-Quran
atau Sayyidina Uthman mewujudkan dua azan pada hari Jumaat. Orang-orang agama
ini gagal memberi cerita penuh dalam kisah-kisah tersebut. Adakah anda tahu,
apakah tujuan Sayyidina Abu Bakr membukukan Al-Quran? Dan adakah dia terus
bersetuju untuk membukukan Al-Quran ketika dicadangkan oleh Sayyidina Umar?
Pada zaman khilafah Sayyidina Abu Bakr, berlaku peperangan Riddah (golongan
murtad) di Yamamah, dan ramai para sahabat yang hafaz Quran telah meninggal
(lebih kurang 70 orang). Sayyidina Umar risau kalau lebih ramai para penghafaz
Quran meninggal, maka Quran mungkin akan hilang dari muka bumi selama-lamanya.
Maka beliau bercadang kepada Sayyidina Umar supaya membukukan Al-Quran.
Sayyidina Abu Bakr pada awalnya tidak setuju sama sekali, dengan alasan
bagaimana dia boleh melakukan sesuatu yang Nabi tidak buat. Tetapi setelah
dipujuk berulang kali oleh Sayyidina Umar dan sahabat lain, maka dia pun
bersetuju atas sebab kemaslahatan yang dapat dicapai dari usaha membukukan
Quran. Sama juga dengan keputusan Sayyidina Uthman utk melaungkan azan dua kali
pada hari jumaat. Pada zaman tersebut orang Islam telah ramai, jadi dua azan
tersebut bersebab memberi masa kepada orang untuk hadir ke masjid. Terdapat
maslahat khas yang menyebabkan sayyidina Uthman membuat keputusan tersebut. Apa
yang ingin disampaikan di sini ialah, sikap sahabat yang begitu takut untuk
membuat sesuatu yang baru walaupun terdapat maslahat (manfaat) yang besar
(bahkan musibah yang besar kalau tidak dilakukan). Bagaimana pula dengan kita yang suka membuat
ibadah baru dengan alasan, “benda baik saje pun, apa salahnya??” tanpa ada apa-apa
kemaslahatan pada apa yang dilakukan. Tidakkah kita takut pada ancaman Rasulullah
bahawa setiap yang baru adalah sesat, dan setiap yang sesat tempatnya di
neraka? [hadith dalam sahih muslim]
Rukun Islam yang pertama adalah
mengucap dua kalimah syahadah, kemudian diikuti dengan rukun-rukun yang lain.
Mengucap kalimah syahadah ini bukan seperti rukun-rukun Islam yang lain. Kalau
mahu dijadikan analogi, kalimah syahadah adalah tapak rumah yang solid,
sedangkan rukun-rukun yang lain adalah tiang-tiang di atas tapak tersebut,
untuk membina agama Islam. Tanpa tapak yang solid, tiang-tiang yang lain pun
tidak dapat berdiri dengan tegak dan tak mungkin agama dapat didirikan. Jadi
apakah maksud mnegucap dua kalimah syahadah? Apakah maksud kesaksian yang
diberikan? Apabila kita bersaksi dengan kalimah syahadah, kita mengakui bahawa
semua amalan hanya akan diterima oleh Allah kalau mematuhi dua prinsip dalam
kalimah syahadah yakni amalan tersbut dilakukan ikhlas kerana Allah, dan yang
kedua ia dilakukan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Disebabkan itulah kalimah
syahadah merupakan rukun Islam yang pertama. Rukun-rukun yang lain tidak
bermakna tanpa asas kalimah syahadah. Umpamanya kita ikhlas solat subuh, tapi
solat empat rakaat (apa salahnya, benda baik je pun), maka solat itu tidak
diterima kerana walaupun ia mematuhi prinsip yang pertama iaitu ikhlas kerana
Allah, ia melanggar prinsip yang kedua iaitu mengikut nabi SAW.
Terdapat dua ayat Quran yang patut
kita pelajari supaya kita faham mengapa bid’ah tidak dibenarkan. Yang pertama
ialah ayat 3 dalam surah al-Maidah. Allah berkata “Pada hari ini, Aku telah
menyempurnakan bagimu (wahai Muhammad) agamamu….” Kalau Allah dah sempurnakan
agama bagi kita, maka kita bukan sahaja tidak boleh mengurangkan apa-apa
darinya tetapi juga tidak boleh tambah apa-apa kepadanya kerana ia memberi
implikasi seolah-olah Allah telah lupa untuk mensyariatkan ‘amalan baik’ yang
kita buat itu, Maha Suci Allah dari segala kekurangan!
Dan yang kedua ialah ayat 31 dalam
surah Ali ‘Imran, di mana Allah menyuruh Nabi SAW berkata kepada umatnya,
“Katakanlah(wahai Muhammad), kalau kamu cintakan Allah, maka ikutlah aku,
nescaya Allah akan mencintaimu.” Jadi cara untuk kita memperoleh cinta Allah
bukannya dengan membuat ibadah baru dengan alasan ‘benda baik je pun’ tetapi
dengan mengikut apa yang diajar oleh nabi SAW.
Berbalik semula kepada dua insiden di
atas, pengajaran dari insiden pertama ialah, kita mesti cuba sama-sama untuk
menambahkan ilmu supaya dan membezakan apa yang betul dan apa yang tidak. Bid’ah
ini bukan masalah kecil, kerana bukan sahaja ia salah, ia selalunya akan
menyebabkan satu Sunnah termakan/ditinggalkan. Dalam cerita ini, majlis ilmu
yang merupakan suatu Sunnah, dimakan oleh tahlil yang merupakan bid’ah. Contoh
lain, baca yaaseen malam Jumaat, memakan Sunnah membaca surah al-kahf. Majlis
tahlil arwah dengan makanan yang disediakan oleh tuan rumah, memakan Sunnah agar
kelaurga si mati diberi makan oleh jiran dan kaum kerabat kerana mereka dalam
kesusahan emosi. Dan banyak lagi contoh yang lain.
Dari insiden kedua pula, pengjarannya
ialah perubahan mengambil masa yang lama. Mendidik masyarakat perlu dilakukan
dengan hikmah. Allah menyuruh para rasul menyampaikan risalah dengan ‘balaghul Mubeen.’
Mubeen bermaksud jelas serta menjelaskan, dan merujuk kepada penerangan yang
memuaskan intelek. Balagh pula berkaitan dengan penerangan yang memuaskan
emosi. Fokus hanya pada aspek ‘mubeen’ tanpa ada ‘balagh’, orang takkan terima.
Disebabkan itulah saya tidak menghalang orang dari melakukan tahlil walaupun
saya tidak setuju dengannnya. Bahkan, kadang-kadang tahlil itu dilaksanakan
oleh kelaurga terdekat, saya masih pergi kerana tidak mahu keluarga salah faham
bahawa saya tidak suka kepada mereka. Samalah dengan doa selepas solat. Saya
melakukannya walaupun ia adalah bid’ah kerana saya tidak mahu berlaku situasi
di mana jemaah tidak datang ke surau kerana takut saya sesat. Memutuskan
silaturahim dan memecahkan jemaah adalah dosa yang jauh lebih besar dari dosa
tahlil dan doa selepas solat. Dan kita juga tak boleh biarkan sahaja bid’ah
berkekalan selama-lamanya tanpa mendidik masayarakat. Didikan perlu dilakukan
tetapi dengan cara yang berhikmah, supaya tidak membawa kemudaratan yang lebih
besar dari kemudaratan awal. Semoga Allah menjadikan kita dari kalangan mereka
yang menimba ilmu yang bermanfaat, dan berdakwah dengan hikmah demi kita
menjadi ummah yang diredhai oleh Nya. Ameen.