Thursday, 5 November 2015

Syurga dulu, kemudian kemenangan

Kita sering diujar oleh para aktivis Islam supaya bangkit memperjuangkan Islam demi menegakkan khilafah baru, demi melaksanakan hudud, demi memperoleh kemenangan dalam peperangan melawan musuh-musuh Islam. Tapi adakah ini tujuan utama kita bekerja untuk Allah? Untuk menegakkan khilafah? Untuk melaksanakan hudud? Untuk memenangi peperangan? Atau ada tujuan lain yang lebih besar?

Mari kita lihat apa kata Allah jalla wa'ala dalam hal ini:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman." as-saff 61:10-13

Menurut ayat di atas dan juga ayat-ayat lain di dalam Quran, tujuan utama beriman kepada Allah dan juga melakukan jihad adalah untuk mendapat keampunan Allah dan juga syurgaNya. Pertolongan dari Allah dan kemenangan merupakan tujuan 'secondary', yang dapat kita fahami menerusi kalimah 'ukhra (ada lagi/another)' dalam ayat di atas.

Jadi tujuan utama melakukan amalan soleh adalah untuk mendapat keredhaan Allah, dan selepas itu baru apa-apa habuan keduniaan. Maka janganlah kita perkecilkan mana-mana amalan soleh walau sekecil mana pun. Nabi SAW berkata apabila hari kiamat sedang berlangsung dan ada anak pokok di dalam tangan, maka tanamlah anak pokok tersebut walaupun memang dunia nak kiamat dan tak mungkin pokok itu akan membesar!

Satu contoh unggul tentang bagaimana Allah menghargai amalan yang mungkin kecil bagi kita adalah pada ayat 158 surah al-Baqarah

"Sesungguhnya, Safa dan Marwa adalah dari simbol/tanda (kebesaran) Allah." al-Baqarah ayat 158

Apakah bukit Safa dan Marwa menjadi simbol kebesaran Allah sejak azali lagi? Atau ada peristiwa yang telah berlaku yang menyebabkan Allah menjadikan bukit Safa dan Marwa sebagai tanda kebesaranNya? Itulah kisah Hajar ibu Ismail a.s. yang berlari dari Safa ke Marwa berulang kali untuk mencari air bagi anaknya yang kehausan, pada zaman tiada apa-apa di kawasan tersbut melainkan tanah tandus sahaja. Sayyidatina Hajar berlari berulang kali tanpa hilang harapan bahawa Allah akan mengurniakan kepada dia dan anaknya air, dan itulah yang telah berlaku. Dan hanya kerana perbuatan kecil seorang wanita, berlari ke hulur ke hilir dari Safa ke Marwa dengan penuh tawakkal kepada Allah demi mencari air untuk anaknya, Allah telah mengagungkan kedua bukit ini sebagai tanda kebesaranNya dan memastikan peristiwa ini diingati oleh jutaan manusia sampai hari kiamat dengan mensyariatkannya dalam ritual Sa'i ketika melakukan umrah.

Tujuan saya menulis entri ini bukanlah untuk memperkecilkan usaha untuk menegakkan undang-undang Islam dan sebagainya, tetapi mahu mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan bahawa tujuan utama kita melakukan amalan soleh adalah untuk mendapat keredhaan Allah agar dapat masuk syurga. Jangan jadikan kejayaan di dunia sebagai tujuan kerana itu hanyalah pencapaian sampingan sahaja. Dan seringkali kejayaan yang diingini memang tidak akan tercapai di dunia. Jadi fokus kita mestilah pada meneruskan amalan soleh yang sentiasa diulangi di dalam Al-Quran seperti solat, zakat, puasa, zikir, amar ma'ruf nahi mungkar etc kerana amalan inilah yang merupakan basis/foundation agama kita. Kalau fokus kita adalah kepada memperoleh kejayaan dunia seperti mengakkan khilafah dan melaksanakan hudud, tanpa menitikberatkan amalan soleh yang disebut berulang kali dalam Al-Quran seperti di atas, maka kemusnahan akan menimpa diri dan umat. Dan kita diingatkan tentang perkara ini sekurang-kurangnya lima kali sehari ketika azan dilaungkan, "Hayya 'alassolah, Hayya 'alal falaah" yakni mari mendirikan solat, mari menuju kejayaan. Solat dulu (dan by extension amalan soleh yang lain yang mungkin dianggap remeh), kemudian baru datang kejayaan.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan mukmin yang memberi prioriti pada apa yang perlu diberi prioriti demi mendapat keredhaan Allah, ameen.





No comments:

Post a Comment