Monday, 18 May 2015

Nak Kahwin? Part 1

Nak kahwin? Ataupun baru kahwin? Ataupun sudah kahwin? Takpe, tak kisahlah anda dari mana-mana kelompok di atas. Insya Allah entri ini akan bermanfaat.

Di dalam Al-Quran, terdapat satu surah yang bertajuk An-Nisa' yakni wanita. Surah ini terkenal di kalangan orang lelaki kerana mengandungi ayat poligami dan ayat yang kononnya memberi kuasa kepada suami ke atas isterinya (ar-rijalu qawwamuna 'ala an-nisa'). Malangnya, itu sahajalah yg orang tahu tentang surah ini, sedangkan surah ini sarat dengan undang-undang sosial dan perintah Allah yang penting untuk difahami agar hukum-hukum 'kontroversi' seperti poligami dipraktikkan dengan cara yang betul. Adalah berdosa untuk mengambil sebahagian ayat Quran dan meninggalkan sebahagiannya demi kepentingan diri!

Ayat pertama surah ini adalah antara ayat yg sering dibaca Nabi SAW ketika memulakan khutbahnya:


 

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari diri yang satu , dan yang menjadikan daripada itu pasangannya , dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati  kamu." An-Nisa' 4:1

Perkataan bertaqwa yang kedua dalam ayat di atas adalah kata kerja transitif yang mengambil dua objek. Satu adalah lafzul jalalah iaitu Allah dengan maksud takutlah kepada Allah. Objek kedua perkataan taqwa datang pada hujung frasa tersebut iaitu 'arham' ataupun rahim-rahim. Dalam terjemahan, frasa tersebut ditafsirkan 'serta peliharalah hubungan silaturahim'. Ini terjemahan yang betul, tetapi maksud 'takut kepada rahim-rahim' termasuk juga hormatilah dengan tinggi (revere) kaum wanita. Kita berasal dari rahim ibu, anak-anak kita berasal dari rahim isteri, jadi pemilik rahim perlulah dihormati. Allah mencantumkan taqwa kepadaNya dengan taqwa terhadap rahim, maka menjaga dan memelihara rahim dan silaturahim (hubungan rahim) adalah perkara yang besar pada pandangan Allah.

Maka tanpa melihat ayat lain, ayat ini pun sudah memadai untuk menekankan kepentingan menjaga dan menghormati wanita. Akan tetapi, mari kita lihat beberapa ayat yang lebih khusus tentang perkahwinan di dalam surah yang sama. Pada ayat 20, Allah melarang suami yang ingin bercerai dengan isterinya dari mengambil balik apa-apa mahar yang telah diberikan kepada isteri, walaupun jumlah yang diberi itu sangat banyak(qintar). Biasalah, pada awalnya, punyalah cinta dekat isteri, sampai sanggup bagi segala-galanya. "You are my everything, so I give you everything," katanya. Tapi kalau dah bagi everything, tak boleh diambil balik. Ayat 21 diterangkan sebabnya:



"Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?" An-Nisa 4:1

Saya mahu fokus pada kalimat mithaqan ghalizan yang diterjemah sebagai perjanjian yang kuat. Kalimat ini, wujud di dalam Quran di dua lagi tempat. Satu di dalam surah yang sama pada ayat 154, ketika Allah mengangkat gunung ke atas banu Israil seolah-olah hendak menghempap mereka supaya mereka berjanji memegang kepada hukum Allah dengan kuat:

"And We raised over them the mount for [refusal of] their covenant; and We said to them, "Enter the gate bowing humbly", and We said to them, "Do not transgress on the sabbath", and We took from them a solemn covenant." An-nisa 4: 154 (maaf pilih yang english sebab yang versi bahasa melayu berjela-jela sangat).

Tempat kedua ialah pada ayat 7 surah al-ahzab ketika Allah mengambil ikrar dari para rasul ulul'azmi yang agung supaya melakukan tugas penyampaian dengan sebaiknya: 

Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi (umumnya): perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta. Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka); Al-Ahzab 33:7

Jadi perkataan mithaqan ghalizan ini bukan perjanjian main-main. Allah menggunakan frasa ini dalam dua keadaan yang sangat besar implikasinya. Dan begitulah Allah menggambarkan bagaimana isteri mengambil ikrar dari suami, supaya mereka(suami-suami) melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna seperti para Rasul ululazmi menyampaikan risalah, dan seolah-olah akan dihempap oleh gunung jika leka dalam tugasnya! Masih fikir perkahwinan adalah satu transaksi untuk berseronok semata-mata??

bersambung lagi....



No comments:

Post a Comment