Sunday, 6 September 2015

Ulama' tidak bertaqwa?

Logikkah wujudnya golongan ulama' yang tidak bertaqwa? Mari kita cari jawapannya dari Al-Quran. Sebelum itu, kita perlu mendifinisi sedikit maksud perkataan ulama'. Kata akarnya ialah 'ilm (علم) yakni ilmu. Orang yang berilmu dipanggil 'aalim ( عالم ) dan jamaknya ialah ulama'( علماء) . Kita orang Malaysia melakukan kesilapan apabila memanggil orang yang rajin beribadat sebagai orang alim. Rata-rata kalau diperhatikan, orang yang rajin beribadat tidaklah berilmu sangat. Perkataan yang lebih sesuai untuk golongan ini ialah 'aabid (عابد ). Agama memberi darjat yang lebih tinggi kepada orang berilmu  berbanding orang banyak beribadat. Kombinasi kedua-duanya adalah yang terbaik, tetapi kalau perlu dipilih antara satu, menggunakan masa untuk mencari ilmu lagi afdhal dari melakukan ibadah sunat. Mengapa sedemikian? Kerana orang yang berilmu selalunya memudahkan urusan dan memberi harapan kepada sesiapa yang bertanya kepadanya. Imam Sufyan ath-thawri berkata:

"A true scholar is one who finds (based on sound principles) an easier way for people, because as far as making things difficult is concerned, one need not have any knowledge to do that!"

Banyak hadith Nabi SAW yang menerangkan keafdhalan seorang yang berilmu berbanding seorang yang banyak beribadat. Antaranya ialah hadith terkenal dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim tentang seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang serta perbezaan nasihat yang diberikan oleh seorang rahib berbanding seorang alim. Rahib memberi nasihat yang memusnahkan segala harapannya lalu dibunuh oleh lelaki tersebut (padan muka kot!), sedangkan yang alim pula memberi nasihat yang berfaedah. Boleh baca keseluruhan hadith dan pengajarannya di sini.

Al-Quran juga mengandungi banyak ayat yang menceritakan kehebatan orang berilmu dan ketinggian darjat mereka. Oleh sebab itu, dalam banyak perkara di dunia ini yang boleh seseorang minta untuk penambahan, Allah mengajar Nabi satu doa' untuk menambahkan satu perkara sahaja iaitu ilmu:



"Katakanlah (Wahai Muhammad): Tuhanku, Tambahkanlah aku dengan ilmu " Taha 20:114

Ayat ini menarik kerana tafsirnya mengandungi dua maksud yakni 'tambahkanlah ilmu aku, dan tambahkanlah (kebaikan) diriku dengan ilmu i.e. increase me in knowledge and by that knowledge.

Baik, kita sudah establish kepentingan mencari ilmu dan ketinggian darjat orang berilmu. Persoalannya di sini, ada ataupun tidak orang berilmu yang ilmunya membawa kesesatan dan kerosakan dan bukannya rahmat ataupun kebaikan kepada dirinya dan alam? Jawapan, ya.
Terdapat bukti langsung dan tidak langsung untuk fenomena ini di dalam Quran. Bukti langsungnya adalah dari surah al-jaathiyah ayat 23:

45:23
"Tidakkah kamu melihat dia yang mengambil hawanya sebagai Tuhan, lalu Allah menyesatkannya di atas ilmu, dan menutup pendengarannya dan hatinya, serta menjadikan ke atas penglihatannya satu tutupan. Maka siapa yang boleh memberinya petunjuk selepas Allah? Tidakkah kamu mengambil peringatan?"

Bukti tidak langsungnya datang dari surah Al-A'raf, di mana Allah menceritakan perihal orang yang berilmu tetapi dia menyalahgunakan ilmunya demi kepentingan dunia. Ia adalah misalan yang paling buruk di dalam Quran:

 

"Bacakanlah kepada mereka kisah dia yang Kami berikan ayat-ayat kami, lalu dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, maka syaitan pun mengikutnya, dan die menjadi di kalangan mereka yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."

Inilah golongan ulama' yang mengkhianati ilmu yang Allah ajarkan kepada mereka. Begitu hebat kejahatan mereka, sampai syaitan yang mengikut mereka, bukan sebaliknya! Bayangkan! 

Kesimpulannya di sini, ilmu tidak sama dengan taqwa. Ulama' tidak sinonim dengan muttaqun. Boleh sahaja mak cik cuci longkang yang jaga ibadah wajibnya seperti solat lima waktu, lebih bertaqwa dan ikhlas dari ulama' besar yang menyalahgunakan ilmunya. Memang ilmu sepatutnya menjadikan orang itu lebih bertaqwa dan atas sebab itulah  lebih afdhal seseorang menggunakan masanya untuk mencari ilmu berbanding berzikir sambil menghitung biji tasbih, seperti yang disebut di atas. Tetapi kadang-kadang ilmu itu menjadikan seseroang itu takbur, lalu dia mengikut egonya, dan akhirnya disesatkan oleh Allah atas ilmu yang dimiliki, wa'iyadhubillah. That is why it said that the pious predecessors used to pray:

"O Allah, make us die upon the religion of the old women (i.e. the simple old ladies who did not have much knowledge but performed their obligations and did good sincerely for the sake of Allah.)"

 

No comments:

Post a Comment